Kenali Bayi Anda

Kepala
Biasanya kepala bayi yang baru lahir akan kelihatan sedikit lonjong akibat proses kelahirannya. Ini disebabkan semasa proses tersebut bayi terpaksa melalui ruang yang terhad bukaannya. Tidak dapat dinafikan juga mungkin pada masa itu, pintu serviks ibu masih belum terbuka sepenuhnya. Oleh itu, kepala bayi akan mengikut saiz serviks pada ketika itu. Selain itu, ada sesetengah bayi yang benjol kepalanya. Keadaan ini biasa terjadi sekiranya bayi lahir dengan menggunakan bantuan vakum. Bahagian kepala yang disedut itulah yang akan benjol sedikit. Kepada bapa-bapa, janganlah risau kerana biasanya benjol itu akan hilang dalam tempoh beberapa hari.

Vernix
Jangan terperanjat jika anda mendapati semasa dilahirkan anak penuh dengan salutan bahan berwarna putih yang berminyak. Bahan tersebut dikenali sebagai vernix yang berfungsi melindungi kulit bayi daripada cecair amnion ketika berada dalam kandungan ibu. Jangan risau, bahan ini boleh dihilangkan dengan hanya mencuci badan bayi dengan air.

Mata
Jika dilihat pada matanya pula, biasanya berwarna sedikit kebiru-biruan kerana proses pigmentasi masih belum berlaku. Proses ini hanya akan mengambil tempat setelah bayi berusia kira-kira enam minggu. Matanya juga kelihatan bengkak. Bengkak ini akan surut selepas dua atau tiga hari. Usah terkejut dan risau bila mendapati mata anak anda kelihatan sedikit juling. Ini adalah perkara biasa untuk tempoh lapan minggu pertama kerana mereka masih dalam proses untuk menyeragamkan pergerakan mata.

Jangan hairan jika bayi anda tidak menunjukkan sebarang tindak balas sekiranya anda berdiri di depannya. Untuk pengetahuan anda, penglihatan bayi pada minggu pertama kelahirannya hanyalah kira-kira 25sm jaraknya. Ini bermakna, dia hanya boleh melihat benda-benda yang dekat dengannya.

Tali Pusat
Kepada bapa yang melihat sendiri anak anda dilahirkan, jangan terkejut jika melihat tali pusat bayi anda. Tali pusat ini sangat panjang dan bercantum dengan uri untuk proses pemakanannya semasa berada dalam kandungan. Selepas dilahirkan, doktor atau jururawat akan memotong pendek tali pusat tersebut lalu dikepit dengan klip plastik. Tali pusat ini perlu dijaga rapi sebelum dia tanggal dengan sendirinya kira-kira lima hingga sepuluh hari kemudiannya. Cuci semua kekotoran yang ada padanya untuk mengelakkan jangkitan. Kuman. Sila dapatkan bantuan bidan ataupun doktor sekiranya tali pusat bayi anda mengalami masalah.

Alat Kelamin
Semasa dilahirkan, alat kelamin bayi sama ada perempuan atau lelaki kelihatan lebih besar daripada yang biasa, seolah-olah membengkak. Jangan risau kerana alat kelamin tersebut akan mengecut selepas beberapa hari dilahirkan. Ada kalanya juga, bayi perempuan akan mengeluarkan sedikit darah ataupun lendir daripada alat kelaminnya akibat perubahan hormon.

Najis
Najis bayi yang baru lahir melekit dan berwarna hijau kehitaman. Najis ini dikenali sebagai meconium. Najis ini kemudiannya akan bertukar warna sedikit demi sedikit seperti najis bayi yang biasa kita lihat selepas mula menyusu. Pada minggu-minggu pertama kelahirannya, bayi kerap membuang air besar.

Berat Badan
Berat badan bayi akan berkurangan sehingga 10 peratus selepas satu atau dua hari dilahirkan. Walau bagaimanapun, berat badannya akan bertambah selepas mereka mula menyusu.

Telinga
Jangan terkejut jika diberitahu bahawa bayi sudah boleh mendengar sejak dari dalam kandungan lagi. Oleh itu, dengarkanlah perkara-perkara yang baik kepada bayi anda semasa mereka berada dalam kandungan agar dia menjadi anak yang soleh, cerdas dan cergas.

Sentuhan
Percayalah bahawa sentuhan memainkan peranan yang paling penting dalam dunia bayi anda. Belaian lembut daripada anda mencerminkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepadanya. Belailah anak-anak sekerap mungkin kerana anak akan rasa selamat setiap kali berada dalam dakapan anda.

cute baby (2)
Rambut
Kepala bayi sudah mula ditumbuhi rambut ketika masih di dalam kandungan lagi. Walau bagaimanapun, rambut ini akan gugur sedikit demi sedikit selepas dilahirkan dan akan digantikan dengan rambut yang baru.

kenali bayi anda

Info Air Ketuban

AIR KETUBAN
Masalah air ketuban tidak boleh dipandang remeh. Ia melibatkan keselamatan bayi dalam kandungan. Air ketuban sedikit atau terlalu banyak bahkan berwarna keruh merupakan antara masalah yang boleh berlaku kepada ibu hamil menjelang proses kelahiran.

Antara punca yang menyebabkan air ketuban menjadi keruh adalah berlakunya gangguan kepada bayi di dalam kandungan di mana bekalan oksigen daripada ibu semakin kurang diterima. Ini kemungkinan disebabkan ibu menghadapi masalah kesihatan seperti masalah asma atau pergerakan bayi yang terlalu aktif mengakibatkan tali pusat melilitnya sehingga bayi mengalami stres.

Bayi yang mengalami stres akan mengeluarkan mekonium iaitu najis berwarna kehijauan yang dihasilkan oleh bayi baharu lahir. Apabila bayi sudah mengeluarkan mekonium akan mengakibatkan air ketuban bertukar menjadi warna hijau keruh.

Berikut ini adalah faktor yang menimbulkan keruhnya ketuban sehingga menyebabkan sindrom aspirasi mekonium :
*Stres pada janin.
* Proses kelahiran yang sukar.
*Hamil yang melebihi tarikh jangkaan bersalin.
*Ibu yang merokok secara rutin atau yang menderita penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi, ataupun kelainan pada jantung.
*Komplikasi pada tali pusat.
*Perkembangan intrauterine pada bayi yang tidak baik.

Air ketuban berfungsi sepanjang kehamilan dan menjelang kelahiran tetapi apabila sudah masuk minggu terakhir (37 – 41 minggu) dan bayi masih di dalam kandungan ia akan berbahaya kepada kandungan.

Air ketuban dapat mengganggu bayi dalam kandungan. Keadaan ini dalam bidang perubatan disebut SAM (Sindrom Aspirasi Aconium). Air ketuban keruh yang berwarna hijau bahkan berwarna hitam akan mengakibatkan gangguan kesihatan kepada bayi apabila tidak dirawat secepat mungkin.

Ciri-ciri bayi yang mengalami keracunan air ketuban iaitu akan mengalami penuaan pada kulit seperti berkedut dan kukunya memanjang serta ada cairan pada paru-parunya. Oleh itu jika doktor memberitahu anda mengalami masalah ini ikut sahaja nasihat doktor apa yang baik untuk anda dan bayi.

Semasa kehamilan bayi anda dilindungi dalam uterus anda di dalam kantung membran yang penuh dengan cecair amnion. Jika kantung terkoyak, cecair ini akan keluar melalui serviks dan vagina. Ini dikenali sebagai “ketuban pecah”. Ia juga dikenali sebagai kepecahan membran yang spontan maupun mendadak.

Bagi ramai wanita, ketuban akan pecah di bahagian akhir pada peringkat pertama perlahiran. Namun, seorang dalam 10 orang wanita akan mengalami pecah ketuban di penghujung kehamilan walaupun pelahiran belum bermula (kepecahan membran prapelahiran penuh terma atau PROM). Bagi 2 peratus orang wanita yang hamil, ketuban mereka pecah sebelum mereka berada dalam 37 minggu kehamilan (kepecahan membran praterma, prapelahiran atau PPROM).

Jika ketuban anda pecah sebelum anda berada dalam fasa pelahiran, jangan panik! Gunakan tuala wanita untuk perlindungan bagi masalah ini. Ini juga akan memudahkan anda untuk melihat warna cecair yang keluar itu. Cecair selalunya adalah jernih dengan sedikit kekuningan, dan selalunya bercampur dengan sedikit darah.

Jumlah cecair yang menitis keluar itu adalah berbeza. Kadangkala beberapa titisan saja, kadangkala sebagai pancuran yang deras. Memang mengejutkan jika ketuban keluar dengan memancut; apatah lagi, pada terma penuh kehamilan, jumlah cecair ini boleh mencapai lebih kurang 800 mililiter.

Jika terdapat banyak yang keluar, penggunaan tuala wanita tidak memadai dan lebih baik anda menggunakan tuala tangan. Walaupun kurang kemas, cara ini adalah lebih praktikal, terutamanya jika anda perlu ke hospital dengan kereta. Elok juga dijaga supaya kerusi kereta tidak rosak dengan mengalasnya dengan helaian plastik.

Jika yang keluar hanya titisan kecil sekali sekala, elok juga diperiksa sama ada cecair itu bukannya titisan urin yang juga boleh berlaku di akhir kehamilan.

Perlu ditegaskan betapa pentingnya untuk mendapatkan pemeriksaan segera apabila ketuban anda pecah, tidak kira pada minggu ke berapa pun kehamilan anda (dan walaupun anda tidak mengalami kontraksi). Apabila ketuban anda pecah, perlindungan daripada jangkitan adalah rendah, dan jangkitan boleh masuk ke uterus dari vagina.

Sebaik sahaja anda dirawat, jika anda sekurang-kurangnya dalam 37 minggu kehamilan, doktor anda akan terus merangsangkan pelahiran jika anda belum masuk ke fasa pelahiran dengan sendirinya selepas 24 jam. Kira-kira sembilan daripada 10 orang wanita, yang hamil tidak kurang dari 37 minggu, akan melahirkan anak secara normal dalam masa 24-48 jam selepas ketuban pecah. Namun begitu, jika anda hamil antara 34 minggu dan 37 minggu, anda boleh memilih sama ada untuk dirangsangkan pelahiran atau tunggu dahulu dan lihat perkembangan seterusnya.

Selain itu, sekiranya anda diuji positif untuk streptokokus kumpulan B semasa hamil, lain pertimbangan harus diambilkira. Memang ada risiko jangkitan berkaitan dengan GBS jika terdapat tempoh yang panjang antara ketuban pecah dan masa pelahiran bermula. Jadi, dalam kes sebegini, rangsangan pelahiran mungkin akan dibuat dengan seberapa segera.

Jika semuanya berjalan lancar untuk anda dan bayi anda, anda boleh kembali ke rumah jika anda mahu. Pendekatan tunggu dan lihat boleh meningkatkan risiko jangkitan (kira-kira 1 peratus wanita berbanding dengan 0.5 peratus wanita yang tidak pecah ketubannya). Ia adalah selamat untuk anda mandi tetapi jangan lakukan seks kerana ini akan meningkatkan risiko jangkitan.

Anda perlu:
Pastikan kadar denyutan jantung dan pergerakan bayi anda diperiksa oleh bidan atau doktor setiap 24 jam sehingga anda berada dalam fasa pelahiran atau dirangsangkan pelahiran.
Periksa suhu anda setiap empat jam di waktu berjaga untuk memastikan sama ada anda demam atau tidak.
Perhatikan sebarang perubahan dalam warna dan bau cecair amnion (air ketuban) yang menandakan terdapatnya jangkitan.
Pastikan bayi anda bergerak seperti biasa.

Jika anda mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan atau demam (seperti menggigil dan memerah) atau jika anda mendapati pengurangan dalam pergerakan bayi anda, hubungi hospital dengan segera. Jika anda didapati mempunyai penyakit, anda akan memerlukan antibiotik intravena dan pelahiran akan dirangsangkan oleh doktor dengan segera.

Jika anda tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan tetapi ketuban anda telah pecah lebih daripada 24 jam, anda dinasihatkan untuk melahirkan bayi di hospital. Ini adalah sebab bayi anda mungkin memerlukan akses atau pemindahan segera ke pusat jagaan neonatal. Anda perlu berada di hospital sekurang-kurangnya 12 jam selepas kelahiran supaya bayi anda dapat diperiksa jika terdapat tanda-tanda jangkitan. Anda juga akan diminta untuk menghubungi doktor anda dengan segera sekiranya terdapat perkara yang membimbangkan anda mengenai bayi dalam tempoh lima hari pertama.

Risiko akan meningkat jika tempoh antara ketuban anda pecah dan kelahiran bayi anda agak panjang sedikit. Jika anda tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan, tetapi ketuban anda telah pecah lebih daripada 48 jam, anda perlu berfikir dengan serius mengenai apa yang perlu anda lakukan. Doktor anda akan berbincang dengan anda sama ada elok dirangsangkan pelahiran dengan segera atau terus tunggu dan lihat.

Admin JomHamil

Seks Semasa Hamil

Bolehkah Saya Melakukan Seks Ketika Hamil?

aaa

Sudah tentu. Dengan kehamilan normal, anda boleh melakukannya sehingga sampai masa air ketuban pecah. Tanya doktor dahulu jika anda mengalami masalah dengan kehamilan anda, seperti plasenta previa atau pendarahan, atau anda mempunyai sejarah keguguran.

Dengan kehamilan normal, melakukan seks tidak ada kaitan dengan keguguran. Malah, jika anda berasa seksi dan cukup sihat, mungkin baik juga anda menikmatinya sepanjang kehamilan. Melakukan seks semasa hamil mungkin baik bagi hubungan anda dan suami pada masa kini dan selepas kehadiran bayi.

Kajian telah membuktikan yang melakukan seks semasa hamil tidak dikaitkan dengan kelahiran pramatang jika kehamilan itu sihat dan normal. Malah, satu kajian menunjukkan wanita hamil yang melakukan seks secara teratur selama kehamilan kurang cenderung mengalami kelahiran pramatang.

Bolehkah Seks Membahayakan Bayi?

123

Anda tidak akan membahayakan bayi, walaupun suami anda mengambil posisi di atas. Penyumbat mukus yang tebal yang menutup serviks membantu melindungi bayi daripada jangkitan. Kantung amnion dan otot-otot uterus yang kuat juga melindungi bayi. Walaupun fetus anda agak bergerak kencang selepas klimaks, ini disebabkan oleh jantung anda yang mengepam kuat, bukan kerana dia tahu apa yang berlaku atau mengalami kesakitan.

Walau bagaimanapun, ada keadaan-keadaan penting, di mana anda akan dinasihatkan supaya tidak melakukan persetubuhan. Ini termasuk:
–>> pendarahan;
–>> sakit atau kekejangan abdomen;
–>> ketuban pecah;
–>> sejarah kelemahan serviks;
–>> plasenta previa, terutama jika anda pernah mengalami pendarahan.

Anda mungkin akan dinasihat mengelakkan seks jika suami anda menghidap herpes genital. Jika anda menghidap herpes genital untuk kali pertama semasa mengandung, ada kemungkinan ia boleh dijangkitkan kepada bayi dalam kandungan anda.

Adakah Nikmatnya Sama?

111

Lebih baik bagi setengah wanita, tidak begitu baik untuk yang lain. Pengaliran darah ke ruang pelvis bertambah dan boleh menyebabkan alat kelamin membengkak dan menambahkan sensasi. Tetapi, dalam masa yang sama, rasa kepenuhan ini membuat sesetengah wanita rasa tak selesa selepas persetubuhan berakhir. Sesetengah wanita juga mengalami kesakitan bila melakukan seks semasa hamil.

Ada juga wanita yang mengalami kekejangan abdomen semasa atau sesudah persetubuhan kerana klimaks boleh menyebabkan kontraksi-kontraksi yang lebih ketara pada trimester ketiga. Ini mungkin membuat anda tidak selesa untuk beberapa minit, tetapi kekejangan uterus akan beredar, sama seperti semasa kontraksi Braxton Hicks.
Saya tidak rasa mahukan seks semenjak saya hamil. Adakah ini normal?

Ya. Perubahan-perubahan besar dalam badan anda sudah tentu akan mengubah kehidupan seks anda. Bagi setengah wanita, mereka rasa lebih seksi daripada biasa kerana tidak perlu bimbang tentang konsepsi dan pencegah kehamilan. Tetapi bagi sesetengah yang lain pula hanya merasa terlalu letih atau mual untuk berasmara, terutama sekali semasa trimester pertama.

Ada wanita mendapati yang trimester kedua ditanda oleh nafsu berahi yang meruap-ruap naik. Namun dalam mana-mana fasa kehamilan, ada variasi yang besar dari segi perasaan dan aktiviti seks bagi setiap pasangan suami isteri. Nafsu berahi anda mungkin menurun semula di trimester ketiga kerana anda memikirkan tentang kelahiran dan proses bersalin yang akan datang, atau anda rasa tidak menarik atau bimbang tentang kepuasan suami anda.

Semua perasaan dan pengalaman ini adalah normal, tetapi ingatlah bahawa setiap orang berbeza dan adalah normal juga jika nafsu berahi dan menurun semasa hamil.
Adakah nafsu seks suami saya akan berubah?

Mungkin. Ramai lelaki mendapati isteri hamil mereka menarik seperti sebelum hamil pada trimester pertama dan kedua, tetapi perasaan ini berkurang pada trimester ketiga. Ini tidak bermakna dia langsung tidak mendapati anda menarik.

Nafsu suami anda mungkin berkurangan kerana takut yang seks akan membahayakan bayi. Atau dia mungkin bimbang akan kesihatan anda dan bayi, khuatir tentang beban keibubapaan, dan atau juga merasa serba salah tentang berasmara dalam kehadiran bayi mereka yang belum lahir.