10 Cara Berkomunikasi Dengan Bayi Dalam Kandungan

10cara


1. Mengusap & Mengurut
Cara yang menenangkan untuk membentuk ikatan dengan bayi anda ialah dengan menyapu minyak pada perut dan mengurutnya perlahan-lahan. Ramai wanita yang menggunakan minyak dan krim sebagai cara untuk mengelakkantanda regangan (stretch marks). Urutan aromaterapi adalah satu cara yang baik untuk memanjakan diri dan meluangkan masa untuk berfikir mengenai bayi anda ataupun bercakap-cakap dengannya. Tanyalah suami anda jika dia mahu mengurut anda. Ini mungkin dapat membantunya berkongsi pengalaman kehamilan dengan anda.

2. Berenang
Satu cara yang baik untuk merehatkan kaki sambil memikirkan tentang bagaimanakah rasanya menjadi bayi dalam kandungan ialah dengan berenang. Berenang bukan sahaja satu cara senaman yang baik, malah ia memberi peluang kepada anda merasai keadaan bayi anda yang ketika ini juga sedang terapung dalam air (air ketuban). Tidak kira berapa besar perut anda, air dapat memberi sokongan untuk menampung berat badan serta memberi ketenangan menjelang penghujung kehamilan anda nanti.

3. Bercakap & Menyanyi
Deria pendengaran bayi anda berkembang sepanjang masa. Mulai kira-kira minggu ke-23, dia sudah boleh mendengar degupan jantung dan bunyi perut anda yang berkeroncong. Dia juga mula mendengar bunyi yang datang daripada luar rahim anda. Kekerapan bayi mendengar suara anda dapat membantunya segera membentuk ikatan dengan anda setelah dia lahir nanti. Terdapat satu teori yang mengatakan pendengaran bayi terbentuk dengan baik sejak dalam rahim untuk membantunya membentuk ikatan dengan anda walaupun sebelum dia lahir. Selepas dilahirkan, bayi anda juga mungkin lebih memberi perhatian kepada suara anda berbanding suara orang lain. Bercakap dan menyanyi kepada bayi lebih menyeronokkan apabila anda tahu bahawa dia boleh mendengarnya. Anda mungkin rasa sedikit malu pada mulanya tetapi lama-kelamaan anda akan terbiasa malah seronok berbual-bual dengan perut anda. Cuba ye..

4. Berendam Dalam Tab berisi Air Suam
Berendam dalam tab hangat ialah salah satu cara untuk berehat. Ia juga memberi peluang kepada anda untuk meluangkan masa dan memberi perhatian kepada bayi anda. Anda mungkin ingin berendam lama-lama, tetapi pastikan air itu tidak terlalu panas semasa anda masuk. Baringlah, tarik nafas dalam-dalam, tenangkan fikiran dan bayangkan bayi anda. Cuba ambil beberapa minit untuk membayangkan diri anda mendukung si kecil. Bayangkan rupanya dan apa yang anda mungkin katakan kepadanya. Jika anda telah sampai ke trimester kedua, bayi anda mungkin memberitahu kehadirannya dengan membuat tendangan-tendangan kecil apabila anda berhenti bergerak. Pada waktu siang anda mungkin terlalu sibuk untuk merasai pergerakan bayi. Luangkan sedikit masa pada waktu petang atau malam, ketika berendam dalam tab, dan fokus kepada pergerakan bayi dan tendangannya.

5. Bersenam atau Yoga
Kelas-kelas yoga pranatal ialah cara yang baik untuk anda relaks, menghargai kerja keras yang yang dilakukan oleh badan anda dan fokus kepada bayi yang sedang membesar. Jika anda tidak pernah membuat yoga sebelum ini, tidak mengapa jika anda bermula semasa hamil. Postur-postur yoga untuk pemula biasanya mudah sahaja. Waktu terbaik untuk mula beryoga ialah dalam trimester kedua, iaitu selepas minggu ke-14.

6. Kelas-kelas Pra Kelahiran
Kelas-kelas pelahiran hipno menggunakan teknik-teknik hipnoterapi untuk membantu anda fokus kepada bayi dan badan anda sebagai persediaan menghadapi proses pelahiran dan bersalin. Kaedah pelahiran hipno dapat mengajar anda cara-cara untuk menangani kesakitan semasa proses pelahiran.

7. Imbasan Ultra Sound
Imbasan pertama bayi anda yang biasanya merupakan imbasan menentukan tarikh, boleh membantu anda membayangkan si kecil yang sedang membasar di dalam rahim. Semasa imbasan dalam trimester kedua, anda mungkin dapat mengetahui jantina bayi. Menyimpan gambar imbasan bayi anda di telefon bimbit atau pada pintu peti sejuk adalah satu cara untuk mengingatkan anda bahawa perut anda adalah rumah kepada seseorang pada ketika ini.

Anda juga boleh mendapatkan imbasan 3D pada penghujung kehamilan. Imbasan 3D boleh memberi gambaran yang lebih jelas tentang rupa bayi anda. Malah, anda juga boleh melihat hidung siapakah yang diwarisinya! Waktu terbaik untuk mendapatkan imbasan 3D ialah di antara minggu ke-26 dan ke-30 kehamilan.

8. Galakan pada Si Ayah
Kebanyakan bakal ibu mengalami simptom-simptom awal kehamilan. Simptom-simptom ini adalah peringatan fizikal bahawa anda sedang hamil dan membantu anda membina ikatan dengan bayi dalam kandungan dari awal lagi. Namun bagi Si Ayah, ia bukanlah sesuatu yang berlaku secara semula jadi. Apabila kehamilan anda semakin membesar, anda boleh membantu suami anda membina ikatan rapat dengan bayi. Bantulah bakal Ayah untuk merasa pergerakan bayi. Maklumkan kepadanya bahawa mulai minggu ke-23, bayi anda sudah boleh mendengar bunyi yang datang daripada luar rahim. Galakkan dia bercakap dan membaca kepada perut anda. Ini akan membantu bayi anda membiasakan diri dengan suara ayahnya. Galakkan suami anda menghadiri kelas-kelas pranatal dengan anda supaya dia tahu apa yang boleh dijangkakan semasa proses pelahiran dan bersalin.

9. Luangkan Masa Bersama
Melahirkan anak adalah kerja berpasukan dan tiada sebab anda berdua tidak boleh memulakannya dari awal. Jika suami anda sedia membantu membuat kerja-kerja rumah, menyediakan air mandian anda atau keluar mendapatkan snek yang anda idamkan, anda berdua akan merasa bahawa anda sedang hamil bersama-sama! Luangkanlah masa dengan perut anda dengan pergi berjalan. Berjalan ialah aktiviti yang baik untuk mengisi waktu makan tengahari anda jika anda bekerja. Pergi berjalan-jalan memberikan anda ruang untuk memikirkan tentang bayi anda. Anda juga boleh berbual-bual dengan perut anda semasa berjalan.

10. Menikmati Setiap Pengerakan Bayi
Anda boleh mula merasa pergerakan bayi dari kira-kira minggu ke-18 hingga minggu ke-20 jika ini ialah bayi anda yang pertama. Merasai pergerakan bayi memberikan anda keyakinan bahawa dia sedang membesar di dalam perut anda. Dengan memberi tindak balas terhadap tendangan-tendangannya, anda seolah-olah berkomunikasi dua hala dengannya sebelum dia lahir. Dan anda boleh melakukannya bila-bila masa, di mana-mana sahaja anda berada. Usaplah perut anda apabila bayi anda bergerak dan jadikanlah pertukaran tendangan dan usapan ini satu rutin. Tidak ada yang lebih mengujakan daripada merasa bayi anda memberi respon terhadap sentuhan anda buat pertama kalinya..

Admin JOMHAMIL

Peranan Suami Ketika Isteri Hamil

Berita Hamil pastinya menjadi kejutan buat semua pasangan dan keluarga. Apabila Isteri mula hamil maka tanggungjawab suami akan menjadi lebih besar. Ketika hamil, isteri akan mengalami perubahan dar segi hormon dan emosi. Kadangkala isteri lebih sensitif, kuat prasangka, kuat melenting dari biasa dan isteri sememangnya perlukan perhatian yang lebih daripada sebelum hamil.

Tidak mengambil kira kandungan buat kali pertama, ataupun kandungan buat kali kedua, kerana setiap kandungan mempunyai alahan dan perubahan yang berbeza-beza. Oleh itu, suami harus lebih peka dalam menjaga ibu dan bayi dalam kandungan..

Berikut adalah panduan buat para suami :

1. Jadi Pendengar Setia
Dengarlah rintihan isteri tentang keletihan, lenguh-lenguh badan dan isi hati mereka.

2. Sentiasa Bersedia Menjadi Pembantu
Jadilah seorang suami yang ringan tulang, membantu tanpa disuruh. Tak perlu yang rumit, cuba bantu basuh pinggan-pinggan di dapur selepas makan, baju-baju kotor yang bertimbun, permainan anak-anak yang bersepah, dan lain-lain. Bagi yang ada anak kecil di rumah, bantulah isteri dalam melayan kerenah anak-anak.

3. Sediakan Tempat Istirehat Yang Selesa dan Sejuk Mata Memandang
Bantu Isteri menghias bilik-bilik dengan gambar-gambar bayi comel, kerusi rehat yang selesa untuk membaca, mengait dan lain-lain.

4. Pastikan Isteri Mendapat Makanan yang Berkhasiat
Wanita hamil memerlukan makanan berkhasiat bagi memastikan ibu dan bayi dalam kandungan mendapat zat yang mencukupi. Supplement dan makanan yang bergizi boleh dipraktikkan.

5. Pastikan Isteri Menjalani Pemeriksaan Rutin Ketika Hamil
Pemeriksaan Rutin boleh dijalankan di klinik-klinik berdekatan atau klinik kerajaan dan membuat buku merah.

6. Merancang Perbelanjaan keluarga
Apabila Isteri Hamil, maka perbelanjaan keluarga juga akan meningkat, jangan lupa membuat simpanan untuk kos hospital, barang-barang bayi, dan kos pemeriksaan rutin.

7. Memastikan Barang Keperluan Bayi dan Isteri Cukup
Memang ia kelihatan seperti remeh tetapi ianya sanagat penting. Barang-barang bayi seperti lampin, barut, minyak sapuan, bedak, sarung tangan dan kaki, baju, barut dan sebagainya perlu disediakan sebelum bayi lahir lagi. Barang ibu seperti kain batik / sarung, lampin pakai buang / pad selepas bersalin, baju blaus dan sebagainya perlu ada dalam senarai juga. Bantulah isteri untuk membuat list barangan keperluan.

8. Memilih dan Mencari Bidan atau Pengamal Tradisional Selepas Pantang
Penjagaan selepas bersalin amat penting untuk memastikan kesihatan ibu terjaga. Ibu memerlukan bantuan terutamanya 2 minggu kalau bersalin secara normal dan 1 bulan kalau bersalin secara c-zer.

9. Fahami Hati Isteri
Wanita yang mengandung mengalami pelbagai perubahan, bukan dari seri fizikal tapi juga dari segi emosi kerana perubahan hormon. Rajinkan diri bertanya kesihatan isteri, belai isteri, atau mengurut isteri untuk mengurangkan lenguh dan letih.

10. Banyakkan Solat dan Berdoa untuk Isteri dan Bakal Bayi
Amalkan solat sunat seperti solat sunat dhuha dan hajat dan sentiasa mendoakan agar isteri dan anak yang bakal dilahirkan selamat.

Simptom Penting Semasa Hamil

Tidak kira berapa banyak yang telah anda baca atau bincangkan dengan ibu-ibu lain mengenai kehamilan anda, masih lagi sukar untuk anda  mengetahui samada apa yang anda alami semasa hamil ini adalah normal ataupun tidak.

Berikut ialah simptom-simptom yang perlu anda risaukan. Jika anda sedang mengalami salah satu daripada masalah berikut, hubungilah doktor anda dengan segera.

Sakit Pada Bahagian Tengah Perut
Sakit yang teruk atau mencucuk-cucuk pada bahagian tengah atau atas perut, samada disertai dengan loya atau muntah ataupun tidak, boleh membawa beberapa maksud. Anda mungkin mengalami:

  • ketakcernaan yang teruk;
  • jangkitan virus dalam perut;
  • keracunan makanan.

Sekiranya anda kini dalam separuh masa kedua kehamilan, kesakitan ini mungkin juga menandakan praeklampsia, iaitu satu masalah serius yang memerlukan rawatan segera.

Sakit Pada Bahagian Bawah Perut
Sakit yang teruk di satu sisi atau kedua-dua sisi perut boleh jadi petanda beberapa perkara.Ligamen anda mungkin tertarik dengan kuat atau ia mungkin tanda:

  • kehamilan ektopik;
  • keguguran;
  • kelahiran pramatang;
  • fibroid menyusut dan berdarah.
  • pemisahan plasenta, iaitu di mana sebahagian daripada plasenta (uri) tercerai daripada dinding rahim (uterus) sebelum masanya (plasenta atau uri ialah organ yang terbentuk dalam uterus semasa hamil, dan ia membekalkan nutrien kepada janin dan mengeluarkan bahan buangannya).

Demam
Jika anda demam dengan suhu melebihi 37.5 darjah C, tetapi tanpa simptom flu atau selesema, hubungi doktor anda pada hari yang sama.

Jika suhu melebihi 39 darjah C, hubungi doktor anda dengan segera. Anda mungkin mengalami jangkitan. Doktor anda akan memberikan anda antibiotik dan menasihatkan anda supaya berehat. Jika suhu anda melebihi 39 darjah C bagi jangka masa yang lama, ia boleh membahayakan bayi dalam kandungan anda.

Penglihatan Kabur dan Nampak Tompok-Tompok Bersinar
Hubungi doktor anda sekiranya, dalam separuh masa kedua kehamilan anda mengalami:

  • penglihatan berganda;
  • penglihatan kabur;
  • penglihatan malap;
  • ternampak tompok-tompok bersinar;
  • ternampak cahaya terang yang berlangsung lebih daripada dua jam.

Simptom-simptom tersebut boleh jadi tanda-tanda praeklampsia.

Tapak Tangan dan Tapak Kaki Bengkak
Ramai ibu mengandung akan mengalami bengkak semasa kehamilan dan dalam kebanyakan kes, ini tidak perlu dirisaukan. Tetapi, jika simptom ini teruk atau berlaku tiba-tiba dan disertai dengan sakit kepala atau gangguan penglihatan, ia mungkin simptom praeklampsia.

Sakit Kepala Yang Teruk dan Tidak Hilang-hilang
Jika anda mengalami sakit kepala selama lebih dari dua atau tiga jam, disertai dengan gangguan penglihatan dan bengkak yang berlaku tiba-tiba pada tangan, muka dan mata anda, anda mungkin mengalami praeklampsia.

Mengalami Pendarahan Faraj
Pendarahan ringan (spotting) tanpa kesakitan mungkin tanda normal proses implantasi iaitu apabila embrio melekat pada uterus pada awal kehamilan, ataupun pendarahan penebusan (breakthrough bleeding). Namun anda masih perlu hubungi doktor anda jika anda mengalami pendarahan semasa kehamilan kerana ini boleh jadi menunjukkan komplikasi yang serius:

  • Pendarahan yang berbeza daripada normal haid anda (lebih banyak atau sedikit dan berwarna gelap) disertai kesakitan teruk pada satu sisi abdomen boleh jadi tandakehamilan ektopik (kehamilan di luar rahim).
  • Pendarahan yang banyak, terutamanya apabila disertai sakit belakang atau abdomen, boleh dikaitkan dengan keguguran atau berpotensi untuk gugur.
  • Dalam peringkat akhir kehamilan, pendarahan menunjukkan plasenta praevia, pemisahan plasenta atau kelahiran pramatang (kelahiran yang bermula sebelum minggu ke-37).

Cecair Keluar daripada Faraj
Keluarnya cecair daripada faraj sebelum minggu ke-37 bermakna membran anda telah pecah awal. Doktor anda pasti mahu anda dimasukkan ke hospital supaya anda boleh mendapatkan rawatan untuk mencegah jangkitan dan membuat persediaan untuk kelahiran pramatang.

Selepas 37 minggu, anda mungkin sudah hendak bersalin. Hubungi doktor anda untuk berbincang mengenai pilihan anda jika anda masih belum rasa sakit hendak bersalin dalam masa 24 jam.

Perit Semasa Membuang Air Kecil
Sakit atau perit semasa membuang air kecil disertai dengan suhu badan tinggi, menggigil dan sakit belakang mungkin tanda-tanda jangkitan saluran kencing. Jumpalah doktor. Anda akan dirawat dengan antibiotik.

Tak Berhenti Muntah
Muntah lebih daripada dua atau tiga kali sehari akan menyahhidratkan dan melemahkan anda, walaupun ia tidak membahayakan bayi. Anda perlu hubungi doktor anda jika anda mengalami muntah yang teruk dan berterusan (hiperemesis gravidarum) kerana mungkin anda perlu dimasukkan ke hospital.

Muntah yang bermula di peringkat akhir kehamilan dan diikuti dengan sakit di bawah tulang rusuk mungkin merupakan tanda praeklampsia. Jika anda muntah diikuti dengan rasa sakit dan demam, ini mungkin menandakan jangkitan. Dalam kedua-dua kes tersebut, hubungi doktor anda. 

Pening dan Hendak Pitam
Ini mungkin tanda yang anda tidak cukup makan pada hari itu tetapi ia juga mungkin bermakna anda mengalami tekanan darah rendah. Ramai wanita rasa pening-peningsemasa hamil. Jika anda pitam, hubungi doktor anda selepas anda sedar semula untuk memastikan semuanya dalam keadaan baik.

Pergerakan Bayi Semakin Perlahan
Tiada pergerakan atau pergerakan bayi anda perlahan lebih daripada 24 jam selepasminggu ke-21 mungkin menandakan bayi anda dalam keadaan tertekan. Jika anda sedar bahawa bayi anda kurang bergerak daripada biasa, hubungi doktor anda. Baca lebih lanjut mengenai pergerakan bayi anda, termasuk bila perlu meminta bantuan.

Gatal Seluruh Badan
Kegatalan yang teruk mungkin menunjukkan masalah berkaitan hati seperti obstetrik kolestasis. Jika anda mengalami obstetrik kolestasis, anda mungkin juga mengalami jaundis, dengan air kencing berwarna gelap dan najis yang pucat.

Kegatalan semasa hamil adalah normal kerana kulit anda meregang untuk menyesuaikan keadaan dengan bayi anda yang sedang membesar. Walau bagaimanapun, lebih baik jika anda membuat pemeriksaan, terutamanya jika kegatalan itu teruk, lebih-lebih lagi pada waktu malam dan melibatkan tapak kaki dan tangan anda.

Terjatuh dan Perut Terhentak
Jatuh atau hentakan tidak selalunya membawa bahaya, tetapi hubungi doktor anda pada hari yang sama dan jelaskan apa yang berlaku. Jika anda tergelincir di tangga dan tulang punggung anda tercedera, anda mungkin tidak perlu risau. Bayi anda selamat kerana dilindungi oleh uterus dan cecair amnion.

Walau bagaimanapun, komplikasi mungkin berlaku dalam sesetengah kes. Jika anda mengalami kontraksi, kebocoran atau sebarang pendarahan, hubungi doktor anda dengan segera atau pergilah ke unit kemalangan dan kecemasan di hospital terdekat.

Kenali Bayi Anda

Kepala
Biasanya kepala bayi yang baru lahir akan kelihatan sedikit lonjong akibat proses kelahirannya. Ini disebabkan semasa proses tersebut bayi terpaksa melalui ruang yang terhad bukaannya. Tidak dapat dinafikan juga mungkin pada masa itu, pintu serviks ibu masih belum terbuka sepenuhnya. Oleh itu, kepala bayi akan mengikut saiz serviks pada ketika itu. Selain itu, ada sesetengah bayi yang benjol kepalanya. Keadaan ini biasa terjadi sekiranya bayi lahir dengan menggunakan bantuan vakum. Bahagian kepala yang disedut itulah yang akan benjol sedikit. Kepada bapa-bapa, janganlah risau kerana biasanya benjol itu akan hilang dalam tempoh beberapa hari.

Vernix
Jangan terperanjat jika anda mendapati semasa dilahirkan anak penuh dengan salutan bahan berwarna putih yang berminyak. Bahan tersebut dikenali sebagai vernix yang berfungsi melindungi kulit bayi daripada cecair amnion ketika berada dalam kandungan ibu. Jangan risau, bahan ini boleh dihilangkan dengan hanya mencuci badan bayi dengan air.

Mata
Jika dilihat pada matanya pula, biasanya berwarna sedikit kebiru-biruan kerana proses pigmentasi masih belum berlaku. Proses ini hanya akan mengambil tempat setelah bayi berusia kira-kira enam minggu. Matanya juga kelihatan bengkak. Bengkak ini akan surut selepas dua atau tiga hari. Usah terkejut dan risau bila mendapati mata anak anda kelihatan sedikit juling. Ini adalah perkara biasa untuk tempoh lapan minggu pertama kerana mereka masih dalam proses untuk menyeragamkan pergerakan mata.

Jangan hairan jika bayi anda tidak menunjukkan sebarang tindak balas sekiranya anda berdiri di depannya. Untuk pengetahuan anda, penglihatan bayi pada minggu pertama kelahirannya hanyalah kira-kira 25sm jaraknya. Ini bermakna, dia hanya boleh melihat benda-benda yang dekat dengannya.

Tali Pusat
Kepada bapa yang melihat sendiri anak anda dilahirkan, jangan terkejut jika melihat tali pusat bayi anda. Tali pusat ini sangat panjang dan bercantum dengan uri untuk proses pemakanannya semasa berada dalam kandungan. Selepas dilahirkan, doktor atau jururawat akan memotong pendek tali pusat tersebut lalu dikepit dengan klip plastik. Tali pusat ini perlu dijaga rapi sebelum dia tanggal dengan sendirinya kira-kira lima hingga sepuluh hari kemudiannya. Cuci semua kekotoran yang ada padanya untuk mengelakkan jangkitan. Kuman. Sila dapatkan bantuan bidan ataupun doktor sekiranya tali pusat bayi anda mengalami masalah.

Alat Kelamin
Semasa dilahirkan, alat kelamin bayi sama ada perempuan atau lelaki kelihatan lebih besar daripada yang biasa, seolah-olah membengkak. Jangan risau kerana alat kelamin tersebut akan mengecut selepas beberapa hari dilahirkan. Ada kalanya juga, bayi perempuan akan mengeluarkan sedikit darah ataupun lendir daripada alat kelaminnya akibat perubahan hormon.

Najis
Najis bayi yang baru lahir melekit dan berwarna hijau kehitaman. Najis ini dikenali sebagai meconium. Najis ini kemudiannya akan bertukar warna sedikit demi sedikit seperti najis bayi yang biasa kita lihat selepas mula menyusu. Pada minggu-minggu pertama kelahirannya, bayi kerap membuang air besar.

Berat Badan
Berat badan bayi akan berkurangan sehingga 10 peratus selepas satu atau dua hari dilahirkan. Walau bagaimanapun, berat badannya akan bertambah selepas mereka mula menyusu.

Telinga
Jangan terkejut jika diberitahu bahawa bayi sudah boleh mendengar sejak dari dalam kandungan lagi. Oleh itu, dengarkanlah perkara-perkara yang baik kepada bayi anda semasa mereka berada dalam kandungan agar dia menjadi anak yang soleh, cerdas dan cergas.

Sentuhan
Percayalah bahawa sentuhan memainkan peranan yang paling penting dalam dunia bayi anda. Belaian lembut daripada anda mencerminkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepadanya. Belailah anak-anak sekerap mungkin kerana anak akan rasa selamat setiap kali berada dalam dakapan anda.

cute baby (2)
Rambut
Kepala bayi sudah mula ditumbuhi rambut ketika masih di dalam kandungan lagi. Walau bagaimanapun, rambut ini akan gugur sedikit demi sedikit selepas dilahirkan dan akan digantikan dengan rambut yang baru.

kenali bayi anda

5 Rasa Tidak Selesa Ketika Mengandung

Hamil itu saat yang paling indah. Lebih-lebih lagi bila perut mengeras. Terasa sangat pengerakan bayi dalam perut. Bagaikan sedan “main bola” dalam perut kita. Jika anak sudah besar, terasa rindu ingin hamil lagi. Namun, bukan yang indah-indah sahaja. Ada juga saat tidak selesa. Antaranya ialah :

1. Rasa “Ngilu”
Ngilu? Nyilu? Perasaan yang susah digambarkan dengan kata-kata. Hanya yang pernah merasainya akan tahu keadaan ini. Ia seakan-akan sakit yang dicucuk-cucuk pada perut. Mahu ke kiri tidak, mahu ke kanan juga tidak… Semakin besar perut, semakin tinggi kedudukan rahim, dan sakit dicucuk-cucuk itu semakin menjadi.

2. Sakit di Pangkal Ari-ari
Ini terjadi apabila rahim semakin membesar, ia akan menekan “ventrikal” dan akan menekan acid dari dalam perut menuju ke “esofogus”. Namun, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum makan apa-apa ubat anti-asid.

3. Rasa Panas
Orang lain rasa sejuk, kita rasa bahang!! Sentiasa mahu kena kipas, walaupun dalam bilik air-cond tetap rasa panas.

4. Masalah Kaki Bengkak atau Edema
Kalau berdiri lama-lama, kaki akan jadi bengkak, kasut jadi kembang. Ada juga orang tua-tua kata, jangan tidur siang. Kalu tidak, akan bengkak saatu badan. Wallahua’lam. Ensik Somi, jemputlah urut2 kaki isteri 😛

5. Payu Dara Bengkak
Bukan setakat bengkak, ia juga mengeras. Bayangkan kalau otot kejang, begitulah “kerasnya” payudara semasa hamil. Saiz payudara dan punggung “membulat” seiring dengan pertambahan berat badan.

air ketuban keruh

Admin Jom Hamil

Info Air Ketuban

AIR KETUBAN
Masalah air ketuban tidak boleh dipandang remeh. Ia melibatkan keselamatan bayi dalam kandungan. Air ketuban sedikit atau terlalu banyak bahkan berwarna keruh merupakan antara masalah yang boleh berlaku kepada ibu hamil menjelang proses kelahiran.

Antara punca yang menyebabkan air ketuban menjadi keruh adalah berlakunya gangguan kepada bayi di dalam kandungan di mana bekalan oksigen daripada ibu semakin kurang diterima. Ini kemungkinan disebabkan ibu menghadapi masalah kesihatan seperti masalah asma atau pergerakan bayi yang terlalu aktif mengakibatkan tali pusat melilitnya sehingga bayi mengalami stres.

Bayi yang mengalami stres akan mengeluarkan mekonium iaitu najis berwarna kehijauan yang dihasilkan oleh bayi baharu lahir. Apabila bayi sudah mengeluarkan mekonium akan mengakibatkan air ketuban bertukar menjadi warna hijau keruh.

Berikut ini adalah faktor yang menimbulkan keruhnya ketuban sehingga menyebabkan sindrom aspirasi mekonium :
*Stres pada janin.
* Proses kelahiran yang sukar.
*Hamil yang melebihi tarikh jangkaan bersalin.
*Ibu yang merokok secara rutin atau yang menderita penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi, ataupun kelainan pada jantung.
*Komplikasi pada tali pusat.
*Perkembangan intrauterine pada bayi yang tidak baik.

Air ketuban berfungsi sepanjang kehamilan dan menjelang kelahiran tetapi apabila sudah masuk minggu terakhir (37 – 41 minggu) dan bayi masih di dalam kandungan ia akan berbahaya kepada kandungan.

Air ketuban dapat mengganggu bayi dalam kandungan. Keadaan ini dalam bidang perubatan disebut SAM (Sindrom Aspirasi Aconium). Air ketuban keruh yang berwarna hijau bahkan berwarna hitam akan mengakibatkan gangguan kesihatan kepada bayi apabila tidak dirawat secepat mungkin.

Ciri-ciri bayi yang mengalami keracunan air ketuban iaitu akan mengalami penuaan pada kulit seperti berkedut dan kukunya memanjang serta ada cairan pada paru-parunya. Oleh itu jika doktor memberitahu anda mengalami masalah ini ikut sahaja nasihat doktor apa yang baik untuk anda dan bayi.

Semasa kehamilan bayi anda dilindungi dalam uterus anda di dalam kantung membran yang penuh dengan cecair amnion. Jika kantung terkoyak, cecair ini akan keluar melalui serviks dan vagina. Ini dikenali sebagai “ketuban pecah”. Ia juga dikenali sebagai kepecahan membran yang spontan maupun mendadak.

Bagi ramai wanita, ketuban akan pecah di bahagian akhir pada peringkat pertama perlahiran. Namun, seorang dalam 10 orang wanita akan mengalami pecah ketuban di penghujung kehamilan walaupun pelahiran belum bermula (kepecahan membran prapelahiran penuh terma atau PROM). Bagi 2 peratus orang wanita yang hamil, ketuban mereka pecah sebelum mereka berada dalam 37 minggu kehamilan (kepecahan membran praterma, prapelahiran atau PPROM).

Jika ketuban anda pecah sebelum anda berada dalam fasa pelahiran, jangan panik! Gunakan tuala wanita untuk perlindungan bagi masalah ini. Ini juga akan memudahkan anda untuk melihat warna cecair yang keluar itu. Cecair selalunya adalah jernih dengan sedikit kekuningan, dan selalunya bercampur dengan sedikit darah.

Jumlah cecair yang menitis keluar itu adalah berbeza. Kadangkala beberapa titisan saja, kadangkala sebagai pancuran yang deras. Memang mengejutkan jika ketuban keluar dengan memancut; apatah lagi, pada terma penuh kehamilan, jumlah cecair ini boleh mencapai lebih kurang 800 mililiter.

Jika terdapat banyak yang keluar, penggunaan tuala wanita tidak memadai dan lebih baik anda menggunakan tuala tangan. Walaupun kurang kemas, cara ini adalah lebih praktikal, terutamanya jika anda perlu ke hospital dengan kereta. Elok juga dijaga supaya kerusi kereta tidak rosak dengan mengalasnya dengan helaian plastik.

Jika yang keluar hanya titisan kecil sekali sekala, elok juga diperiksa sama ada cecair itu bukannya titisan urin yang juga boleh berlaku di akhir kehamilan.

Perlu ditegaskan betapa pentingnya untuk mendapatkan pemeriksaan segera apabila ketuban anda pecah, tidak kira pada minggu ke berapa pun kehamilan anda (dan walaupun anda tidak mengalami kontraksi). Apabila ketuban anda pecah, perlindungan daripada jangkitan adalah rendah, dan jangkitan boleh masuk ke uterus dari vagina.

Sebaik sahaja anda dirawat, jika anda sekurang-kurangnya dalam 37 minggu kehamilan, doktor anda akan terus merangsangkan pelahiran jika anda belum masuk ke fasa pelahiran dengan sendirinya selepas 24 jam. Kira-kira sembilan daripada 10 orang wanita, yang hamil tidak kurang dari 37 minggu, akan melahirkan anak secara normal dalam masa 24-48 jam selepas ketuban pecah. Namun begitu, jika anda hamil antara 34 minggu dan 37 minggu, anda boleh memilih sama ada untuk dirangsangkan pelahiran atau tunggu dahulu dan lihat perkembangan seterusnya.

Selain itu, sekiranya anda diuji positif untuk streptokokus kumpulan B semasa hamil, lain pertimbangan harus diambilkira. Memang ada risiko jangkitan berkaitan dengan GBS jika terdapat tempoh yang panjang antara ketuban pecah dan masa pelahiran bermula. Jadi, dalam kes sebegini, rangsangan pelahiran mungkin akan dibuat dengan seberapa segera.

Jika semuanya berjalan lancar untuk anda dan bayi anda, anda boleh kembali ke rumah jika anda mahu. Pendekatan tunggu dan lihat boleh meningkatkan risiko jangkitan (kira-kira 1 peratus wanita berbanding dengan 0.5 peratus wanita yang tidak pecah ketubannya). Ia adalah selamat untuk anda mandi tetapi jangan lakukan seks kerana ini akan meningkatkan risiko jangkitan.

Anda perlu:
Pastikan kadar denyutan jantung dan pergerakan bayi anda diperiksa oleh bidan atau doktor setiap 24 jam sehingga anda berada dalam fasa pelahiran atau dirangsangkan pelahiran.
Periksa suhu anda setiap empat jam di waktu berjaga untuk memastikan sama ada anda demam atau tidak.
Perhatikan sebarang perubahan dalam warna dan bau cecair amnion (air ketuban) yang menandakan terdapatnya jangkitan.
Pastikan bayi anda bergerak seperti biasa.

Jika anda mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan atau demam (seperti menggigil dan memerah) atau jika anda mendapati pengurangan dalam pergerakan bayi anda, hubungi hospital dengan segera. Jika anda didapati mempunyai penyakit, anda akan memerlukan antibiotik intravena dan pelahiran akan dirangsangkan oleh doktor dengan segera.

Jika anda tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan tetapi ketuban anda telah pecah lebih daripada 24 jam, anda dinasihatkan untuk melahirkan bayi di hospital. Ini adalah sebab bayi anda mungkin memerlukan akses atau pemindahan segera ke pusat jagaan neonatal. Anda perlu berada di hospital sekurang-kurangnya 12 jam selepas kelahiran supaya bayi anda dapat diperiksa jika terdapat tanda-tanda jangkitan. Anda juga akan diminta untuk menghubungi doktor anda dengan segera sekiranya terdapat perkara yang membimbangkan anda mengenai bayi dalam tempoh lima hari pertama.

Risiko akan meningkat jika tempoh antara ketuban anda pecah dan kelahiran bayi anda agak panjang sedikit. Jika anda tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan, tetapi ketuban anda telah pecah lebih daripada 48 jam, anda perlu berfikir dengan serius mengenai apa yang perlu anda lakukan. Doktor anda akan berbincang dengan anda sama ada elok dirangsangkan pelahiran dengan segera atau terus tunggu dan lihat.

Admin JomHamil

Tips Senang Bersalin

• 2 minggu sebelum due, amalkan makan telur separuh masak untuk beri tenaga.
• Bila sakit nk bersalin, makan sebiji telur mentah.
• Minum milo yang dibancuh dengan 2-3 sudu margerin supaya laluan cepat terbuka
• Rebus epal hijau pastu makan time tgh sakit contraction
• Amalkan membaca surah maryam untuk memudahkan bersalin
• Time kat labour room, banyakkan membaca al-fatihah dan doa nabi Yunus serta sebut “Ya Fattah” berulang kali untuk mengurangkan rasa sakit bersalin
• Amalkan minum air kelapa hujung2 nk bersalin. (nanti baby lahir kulitnya bersih je)
• Makan kurma dalam bilangan ganjil
• Banyakkan berjalan, naik tangga ke… Exercise sebelum deliver baby
• Amalkan makan sayur bendi, sebab orang cakap bendi berlendir so senang lahirkan baby
• Untuk exercise, duduk bersila dan temukan kedua tapak kaki, pegang jari2 kaki and tolakkan kedua tapak kaki ke arah vagina.
• Masa proses meneran, baring sambil kaki/ betis rapat ke peha dengan tangan memegang buku lali untuk elakkan vagina terkoyak banyak. Jangan angkat punggung semasa meneran sbb nt koyak teruk
• Amalkan menyapu minyak zaitun di sekeliling faraj bagi melembutkan bahagian tersebut
• Semasa contraction, tarik nafas melalui hidung dan hembuskan melalui mulut. Bila sakit semakin kuat, tarik nafas dan lepaskan cepat2
• Amalkan baca “Ya Khaliq, Ya Barri, Ya Musawwir” sebanyak 21 kali dan hembuskan dalam segelas air
• Kerapkan bersama suami supaya laluan senang terbuka start kandungan 37 minggu
• Minum air Selusuh. Lebih baik kalu dibuat sendiri oleh suami.. Berkat kata orang

image

8 Tips untuk Ibu Yang Sedang Hamil

8 tips ibu hamil

Kehamilan adalah masa yang paling sesuai untuk anda mula menjaga diri anda dengan baik dari kedua-dua segi fizikal dan juga emosi. Anda memberi diri anda peluang terbaik untuk melalui kehamilan bebas daripada masalah dan memperolehi bayi yang sihat jika anda mengikuti beberapa panduan yang mudah:

1. Rancangkan Rawatan Antenatal Anda dari Awal
Penjagaan antenatal yang baik adalah penting untuk kesihatan bayi anda. Memilih doktor yang akan menjaga anda dari awal lagi bermakna anda akan mempunyai banyak masa untuk membina hubungan yang baik sebagai persediaan untuk kelahiran.

Walaupun jika anda tidak mempunyai pilihan dari segi siapa yang anda mahu untuk mengendalikan anda (seperti di klinik-klinik dan hospital kerajaan), anda masih boleh membina persefahaman yang baik dengan seorang bidan atau pakar obstetrik yang sering anda jumpa dalam tempoh masa anda membuat pemeriksaan kehamilan.

2. Makan dengan Baik
Anda tidak perlu “makan untuk dua orang” apabila anda hamil, atau minum susu penuh krim atau mengambil makanan tambahan yang dipasarkan sebagai susu untuk ibu. Malah, keperluan tenaga anda tidak berubah dalam tempoh enam bulan pertama kehamilan, dan keperluan ini hanya meningkat sedikit dalam tempoh tiga bulan yang terakhir (sebanyak sekitar 200 kalori sehari).

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mengambil diet yang sihat dan seimbang. Ramai wanita hilang selera terhadap makanan tertentu, tetapi makanan tersebut memang boleh digantikan dengan makanan lain yang mengandungi nilai-nilai nutrisi yang sama.

Pastikan diet anda merangkumi banyak buah-buahan dan sayur-sayuran (sekurang-kurangnya lima hidangan sehari). Sediakan hidangan makanan anda berasaskan karbohidrat seperti roti, pasta dan nasi (sebaik-baiknya jenis bijirin sempurna supaya anda mendapat serat pada kadar yang banyak). Sertakan protein seperti ikan, daging, telur, kacang atau kekacang polong, dan sejumlah susu dan makanan tenusu, setiap hari.

Juga, adalah penting untuk tidak mengabaikan sarapan pagi di samping mengawal saiz hidangan dan pemakanan snek di antara waktu makan.

3. Berhati-hati Tentang Kebersihan Makanan
Adalah lebih baik untuk mengelakkan makanan tertentu semasa hamil sebab ia membawa risiko kesihatan bagi bayi anda.

Jangkitan salmonella boleh berlaku disebabkan memakan daging ayam yang tidak dimasak sempurna dan telur mentah atau yang separa masak.

Untuk mengelakkan toxoplasmosis, yang sebenarnya jarang berlaku, namun boleh menjejaskan bayi dalam kandungan secara serius, ia adalah penting untuk memakai sarung tangan apabila mengendalikan pasir kumbahan kucing dan tanah tanaman, juga, elakkan daripada makan daging yang kurang masak atau mentah, dan cucilah sayur-sayuran dan sayur salad dengan rapi untuk membersihkannya dari sebarang tanah atau kotoran.

Jangkitan salmonella boleh berlaku akibat memakan ayam yang kurang masak, dan telur mentah atau dimasak lembut.

4. Mengambil Tambahan Folik Asid dan Memakan Ikan
Tambahan diet yang dianggap benar-benar penting ialah folik asid (juga dikenali sebagai folat), yang boleh membantu mencegah spina bifida dan lain-lain kecacatan tiub neural bayi.

Spina bifida adalah penyakit kongenital yang serius. Ia berlaku apabila tiub yang melindungi sistem saraf pusat tidak menutup sepenuhnya dan boleh mengakibatkan ketidakupayaan yang teruk. Semua wanita yang merancang untuk hamil dinasihatkan supaya mengambil tambahan harian folik asid 400mcg dari masa pembenihan dan sepanjang tiga bulan pertama kehamilan.

Anda juga boleh meningkatkan pengambilan folat semulajadi melalui pemakanan anda. Folat didapati dalam banyak makanan yang berbeza, terutama sayur-sayuran dan bijirin sarapan yang diperkuatkan dengan vitamin. Lain-lain nutrien yang penting untuk kesihatan anda dan bayi anda adalah besi dan kalsium, yang pada umumnya diperolehi melalui pemakanan biasa anda.

Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa minyak ikan yang mengandungi asid lemak omega-3, mungkin mempunyai kesan yang baik terhadap praeklampsia, berat kelahiran bayi dan perkembangan otak dan saraf bayi di peringkat akhir kehamilan.

Ikan berminyak mengandungi protein, mineral, vitamin D dan asid lemak omega-3, yang bayi anda perlukan semasa dia membesar dan berkembang, tetapi ia juga mengandungi merkuri dan bahan pencemar lain. Syor semasa ialah supaya memakan ikan berminyak seperti hering, tenggiri, salmon atau sardin tidak lebih dari dua kali seminggu, tetapi anda masih boleh memakan jenis ikan lain seberapa banyak yang anda suka.

Jika anda tidak suka ikan, tambahan minyak ikan senang diperolehi (pilih jenama yang bebas Vitamin A berbentuk retinol, yang tidak digalakkan semasa kehamilan).

5. Bersenam Selalu
Satu program senaman boleh memberi anda kekuatan dan ketahanan yang akan diperlukan untuk menampung berat badan anda yang akan bertambah semasa mengandung dan untuk menangani tekanan fizikal kelahiran. Ini juga akan memudahkan anda untuk kembali balik ke bentuk badan asal anda selepas bayi anda dilahirkan.

Senaman boleh menambah perasaan ceria dan membantu anda menangkis kemurungan semasa mengandung. Pakar-pakar tidak pasti macam mana senaman menyebabkannya, tetapi terdapat bukti yang semakin meluas bahawa ia mempunyai kesan positif ke atas bahan kimia otak seperti serotonin dan dopamina, yang membantu mengawal emosi dan perasaan anda.

Jika anda biasa menjalankan senaman dalam bentuk sejenis sukan, anda boleh teruskan sahaja selagi ia selesa untuk anda, melainkan jika sukan itu membawa risiko jatuh atau terhantuk. Senaman lebih ringan seperti berjalan, berenang dan aerobik air juga sangat bermanfaat.

6. Kurangkan Pengambilan Kafein
Kopi, teh dan minuman jenis cola adalah perangsang yang sederhana, dan walaupun bukti penyelidikan belum lagi jelas, sesetengah penyelidik berpendapat bahawa terlalu banyak kafein boleh menyumbang kepada risiko mendapat bayi mempunyai berat badan lahir rendah, atau meningkatkan risiko keguguran.

Nasihat kami : dua cawan kopi (bersamaan empat cawan teh atau lima tin cola) sehari tidak akan menjejaskan bayi anda, walaupun satu kajian menunjukkan bahawa tahap kafein yang rendah masih boleh meningkatkan risiko keguguran.

7. Berhenti Merokok
Wanita yang merokok meningkatkan risiko keguguran, bersalin pramatang, kelahiran mati dan kematian kot.

Merokok pada trimester pertama juga meningkatkan sedikit risiko melahirkan anak dengan bibir atau lelangit rekah.

Walaupun masa paling baik untuk berhenti merokok ialah sebelum anda merancang untuk hamil, namun begitu, apa jua pengurangan dalam bilangan rokok yang anda hisap setiap hari semasa hamil akan memberikan bayi anda peluang yang lebih baik. (Baca nasihat lanjut mengenai bagaimana untuk berhenti merokok semasa kehamilan.)

8. Banyakkan Berehat
Keletihan yang anda rasakan di trimester pertama dan ketiga sebenarnya adalah cara badan anda memberitahu anda supaya “jangan terlalu aktif”. Mungkin tidur di tengah hari terasa seperti perbuatan manja yang anda tidak mampu lakukan, tetapi anda dan bayi anda akan memdapat manfaat darinya. Jika anda tidak boleh tidur, sekurang-kurangnya letakkan kaki ke atas dan berehatlah secara apapun yang sesuai dengan keperluan anda selama 30 minit atau lebih,.

Jika sakit belakang mengganggu tidur anda, cuba urutan (beritahu ahli terapi yang anda hamil atau carilah bidan yang berpengalaman dalam membantu wanita hamil), kelas natal air, atau kelas senaman khusus untuk penjagaan belakang. Senaman dan aktiviti relaks juga boleh membantu dengan masalah tidur yang berkaitan dengan stres. Cuba teknik relaks, yang selamat semasa mengandung, termasuk regangan dan pernafasan dalam. Jangan lupa memberitahu pelatih yang mengendalikan kelas senaman dan relaks itu yang anda sedang hamil atau pilihlah kelas khusus untuk wanita hamil.

Pantang-Pantang Ibu Hamil

1

Khas untuk Ibu-ibu yang sedang hamil, Ini adalah petua TRADISIONAL. Mungkin betul, mungkin tak betul. Ada baiknya kita jadikan panduan kan.. Tiada rugi apa-apa..

1. Dilarang mencaci atau menceritakan kecacatan, dikhuatiri anak yang bakal lahir juga akan cacat.

2. Dilarang memukul, mendera atau mencederakan mana-mana binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahir mengalamikecacatan.

3. Dilarang memaku, memahat, mengail atau menyembelih binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahit bibir terbelah atau mengalami kecacatan.

4. Dilarang bergaduh dengan ibu mertua, dikhuatiri mengalami kesulitan ketika melahirkan anak.

5. Dilarang makan sotong, dikhuatiri menghadapi masalah ketika bersalin. Anak mungkin tercerut tali pusatnya.

6. Dilarang mencerca atau melihat sesuatu yang ganjil, dikhuatiri akan kenan.

7. Dilarang minum air tebu atau kelapa di awal kehamilan, dikhuatiri anak akan gugur.

8. Dilarang melihat gerhana, dikhuatiri anak mendapat tompok hitam atau bermata juling.

9. Dilarang melangkah kucing yang sedang tidur, dikhuatiri mata anak tertutup seperti kucing yang sedang tidur.

10. Dilarang menyusup di bawah penyidai, nanti anak akan terencat.

11. Dilarang makan makanan yang berakar seperti pegaga, nanti terlekat uri.

12. Dilarang tidur waktu tengahari, nanti kepala anak akan menjadi besar.

Jom SHARE terutama kepada sahabat-sahabat yg sedang Hamil

7 Tips Agar Anak Pintar & Bijak Sejak Dalam Kandungan

111
Mempunyai anak bijak adalah impian semua ibu-bapa. Namun, tahukah anda bahawa proses mendidik anak jadi pintar boleh dilakukan sejak dari dalam kandungan lagi? Ibu-bapa perlu memberikan perhatian yang penuh pada bakal bayi yang bakal lahir. Secara asasnya, untuk menjadikan anak pintar:

1. Berikan nama yang baik

Benar! Sebelum lahir lagi, berikan nama yang baik untuk bakal bayi. Ajak bayi berbual bersama-sama kita. Semasa Trimester 1, mungkin belum ada apa-apa lagi. Apabila mula masuk Trimester 2, usap perut dan selalu berkomunikasi dengan bayi.

2. Berbicara dengan bayi

Jika sudah ada nama, panggillah namanya. Ucapkan kata-kata seperti,
“Sayang, ini mama ni. Mama sayang sangat adik. Mama tak sabar nak tunggu adik keluar. Nanti besar jadi anak yang soleh/solehah ya. Patuhi perintah Allah. Jaga mama dengan ayah baik-baik”. Kadang-kadang, tanpa sedar, seakan-akan bayi memahami bahasa kita. Tindakan refleks seperti menendang perut akan membuat kita tertawa sendirian. Pada Trimester 2, bayi sebenarnya sudah mengenali suara ibu mereka. Jadi, selalu-selalulah berkomunikasi dengan mereka.

3. Bayi mahukan sentuhan ayah juga.

Ayah mungkin tidak dapat merasa ‘tendangan’ si bayi. Cuba dekati perut ibu, ucapkanlah sesuatu yang baik-baik untuk bayi. Untuk lebih keseronokan, mungkin si ayah boleh merakam suara dan kata-kata, dan dengarkan menggunakan ‘headphone’ pada perut ibu.

4. Dengarkan Ayat-Ayat Suci Al-Quran

Jika sudah puas bercakap dengan bayi, si ayah juga boleh mengalunkan ayat ayat Al-Quran pada bayi. Jika ada kelapangan, solat berjemaah dengan si ibu. Selesai solat, baca Al-Quran bersama-sama. Andai ada masa terluang, bahkan dalam kereta sekalipun, dengarkan ayat-ayat suci selalu pada bayi. Mudah-mudahan, apabila besar kelas, boleh menjadi seorang hafiz/hafizah.

5. Bacakan cerita pada bayi

Selain Al-Quran, jika si ibu membaca buku-buku ilmiah yang lain, bacakan sekali kuat-kuat. Biar si bayi dengar akan isinya. Mudah-mudahan terang hatinya selepas keluar nanti. Rangsangan dan sentuhan pada bayi amat penting dalam membina ‘bonding’ antara keduanya. Berbual dan berceritalah selalu dengan bayi. Apabila ibu dalam keadaan gembira, begitu juga bayi. Elakkan ‘stress’ kerana secara tidak langsung, bayi akan merasa tekanan itu

6. Penuhi keperluan nutrisi dalam pemakanan

Bakal ibu perlu makan makanan yang seimbang dan berkhasiat. Ini kerana, setiap nutrisi dari makanan itu, akan sampai pada bayi. Yang penting, pastikan sumber rezeki adalah dari sumber yang halal. Elakkan membeli menggunakan wang dari sumber yang diragui seperti rasuah. Ia akan mengalir dalam darah bayi tersebut. Makan makanan seimbang untuk kebaikan ibu dan bayi.

7. Penerimaan dengan hati yang terbuka

Si ibu perlu bersyukur ke hadrat Ilahi kerana bakal dikurniakan seorang anak. Hati mesti ikhlas menerima rezeki dari Allah. Kadang-kadang, ada ibu yang kurang bersedia untuk menimang cahaya mata. Ada juga yang menolak cahayamata akibat faktor ekonomi. Jika berfikiran sedemikian, cepat-cepat kita buang jauh-jauh. Penerimaan ini penting kerana ia membabitkan emosi dan hubungan antara ibu dan bayi. Kekalkan elemen positif sepanjang hamil.

Semoga Bermanfaat, Jom Kongsikan Ilmu ini,